FEEL FREE TO LIKE!!

09 May 2014

HERNIA... atau Angin Pasang



RASA sengal di celah kelengkang tidak mengganggu aktiviti seharian Ahmad (bukan nama sebenar).
Ahmad masih menjalankan aktiviti seharian seperti biasa. Kadang kala dia merasakan sesuatu seperti tersembul di paha dan kelengkangnya.
Tambahan pula benjol berkenaan tidak sakit dan seolah-olah ‘hilang’ apabila Ahmad berbaring.
Bagaimanapun, lama kelamaan Ahmad yang aktif bersukan merasa mual dan muntah menyebabkan dia pergi mendapatkan rawatan doktor.
Ahmad didiagnosis menghidap hernia atau dalam bahasa mudah, angin pasang yang biasa dihidapi oleh lelaki.
Dia agak bernasib baik kerana menerima rawatan awal. Dengan rawatan dan penjagaan sempurna kemungkinan besar hernia tidak akan berulang.
Pakar Runding Pembedahan Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Jonah Azariah berkata, hernia yang biasanya berlaku di celah paha dipanggil inguinal atau groin hernia.
"Hernia jenis ini lebih banyak dihidapi oleh lelaki," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.
Dr. Jonah berkata, risiko seorang lelaki menghidap hernia inguinal ialah 10 kali ganda lebih tinggi berbanding wanita, malah sebahagian besar bayi yang baru lahir dan kanak-kanak yang menghidap hernia ini juga ialah lelaki.
"Wanita juga terdedah kepada hernia walaupun peratusannya kecil," katanya.
Hernia disebabkan satu benjolan organ atau tisu yang masuk melalui bukaan abnormal disebabkan oleh kelemahan atau kecederaan otot.
Hernia juga boleh berlaku pada mana-mana bahagian pusat di celah kelangkang atau bahagian tubuh yang mempunyai rongga seperti diafram antara dada dan perut.
"Sesetengah hernia berlaku sebaik-baik saja seorang bayi dilahirkan atau selepas beberapa tahun.
"Sebahagian pula menghidap hernia pada pertengahan umur atau usia tua, hernia juga boleh berlaku secara tiba-tiba.
"Sebahagian besar komponen hernia adalah organ yang terdapat di dalam perut seperti usus kecil, usus besar atau lapisan lemak yang menyelaputi kedua-dua usus dan masuk ke bahagian abnormal ini," katanya.
» Rawatan
Dr. Jonah berkata, pesakit yang pernah menghidap hernia pada satu bahagian anggota (kiri atau kanan) berisiko terkena pada bahagian sebelah lagi.
"Pesakit yang menghidap penyakit tertentu seperti batuk atau sembelit kronik, berat badan berlebihan, bayi lahir tidak cukup bulan dan pernah menghidap hernia berisiko menghidapi hernia berulang jika tidak mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.
Menurut Dr. Jonah, pada peringkat biasa, organ usus yang tidak terperangkap dalam hernia dan boleh ditolak masuk dikategorikan sebagai tidak serius.
Jika usus tidak terperangkap dalam hernia, keadaan ini biasanya tidak serius.
"Biasanya pesakit tidak mendapatkan rawatan doktor kerana terdapat benjolan tidak sakit di permukaan kulit berdekatan pusat atau groin yang menjadi besar semasa batuk atau bersin.
"Mereka hanya akan muntah dan abdomen terasa sakit jika usus tersepit," katanya.
Biasanya, jika ini berlaku, pesakit boleh menolak hernia dengan lembut ke dalam dinding otot dengan sedikit tekanan.
Dr. Jonah berkata, jika hernia keras atau tidak masuk semula, doktor akan merujuk pesakit kepada pakar.
Hernia perlu dibetulkan melalui pembedahan kecil untuk mengelak usus tersepit.
Berulang
Sesetengah pesakit yang mengalami hernia berulang mendapat komplikasi tinggi, terutama dari segi saiz hernia. Risiko hernia berulang adalah disebabkan otot dan tisu lemah, apabila ada tekanan yang keadaan ototnya semakin lemah.
"Wanita juga terdedah kepada hernia tetapi ia jarang berlaku. Hernia dalam kalangan wanita biasanya membabitkan wanita berusia melebihi 50 tahun," katanya.
Dr. Jonah berkata, hernia boleh dirawat dengan pembedahan kecil dengan memasukkan semula organ yang terkeluar.
"Satu lagi pembedahan dengan memasukkan jaring plastik atau mesh di celah paha atau di bahagian hernia untuk menguatkan bahagian lemah selain mengurangkan risiko hernia berulang.
"Jaring atau mesh dimasukkan dan ditampal di bahagian lemah. Kaedah ini biasanya dilakukan untuk mengelakkan hernia berulang dan ia lebih popular di Barat," katanya.
Selain itu pembedahan laparoskopik juga boleh digunakan tetapi kaedah ini jarang dilakukan di sini kerana kosnya tinggi dan kurang tenaga mahir.
Bagi pesakit warga emas yang mengalami pelbagai komplikasi jika dibedah disarankan memakai tali pinggang khas untuk mengelakkan hernia.
Menurut Dr. Jonah, komplikasi pembedahan adalah rendah.
"Komplikasi utama ialah hernia berulang. Kadarnya berulang rendah jika kerosakan otot tisu adalah sedikit," katanya.
Cara terbaik menangani hernia ialah pesakit perlu menurunkan berat badan jika mereka tergolong dalam kumpulan obesiti.
Pesakit yang mengalami sembelit kronik pula digalakkan mengambil makanan berserat tinggi.
Pesakit dinasihatkan agar berhenti merokok terutama bagi mereka yang ada masalah paru-paru atau batuk yang kronik.
Dr. Jonah berkata, pesakit perlu cepat mendapatkan rawatan kerana jika hernia berulang dan organ seperti usus kecil dan besar tidak dapat dimasukkan dalam masa enam jam, ia berisiko membawa maut.
» Simptom
Hernia
Menurut Dr. Jonah, apabila otot lemah atas sebab-sebab tertentu terdapat peluang untuk organ keluar melalui lubang di otot.
"Semua manusia mempunyai saluran inguinal dan biasanya lelaki mempunyai tiga lapisan dan dua pintu keluar dan masuk ke pundi kencing dan prostat," katanya.
Injap di pintu keluar masuk boleh dibuka dan ditutup dengan bantuan otot dan apabila otot bermasalah serta berlaku tekanan di perut akan menyebabkan organ tertolak masuk ke lubang di otot.
"Biasanya mereka yang mempunyai penyakit paru-paru, perokok tegar dan batuk berpanjangan, boleh menyebabkan otot lemah dan tekanan kepada perut terdedah kepada hernia.
"Warga emas, mereka yang menghadapi masalah buang air kecil dan masalah prostat dan sembelit mudah menghidap hernia," katanya.
Hernia yang berlaku sejak lahir atau hernia kongenital masih tidak diketahui puncanya.
Memandangkan hernia mudah menyerang bayi lelaki, ibu bapa dinasihatkan peka terhadap keganjilan pada kemaluan anak mereka dan mendapatkan rawatan secepat mungkin bagi mengelak ia menjadi lebih besar.
"Ibu bapa dinasihatkan jangan mengurut bayi mereka bagi mengurangkan benjolan kerana mengurut akan memburukkan keadaan kerana ia membabitkan usus.
"Cara paling selamat ialah melakukan pembedahan kecil yang tidak memerlukan kos tinggi.
"Ia tidak membahayakan, malah pesakit boleh keluar pada hari yang sama selepas melakukan pembedahan itu," katanya.
Jenis hernia
Hernia di kelangkang (Groin hernia)
Hernia selepas pembedahan (Incision hernia)
Hernia di pusat (Umbilical hernia)
Hernia atas pusat (Epigastrik hernia)
Hernia inguinal banyak berlaku dan boleh dibahagikan kepada dua :
Indirect iaitu hernia kongenital yang berlaku sejak lahir. Dianggarkan 800 hingga 1,000 dalam satu juta penduduk lelaki menghidap hernia jenis ini. Indirect boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur dan empat kali ganda lebih kerap ditemui berbanding direct hernia.
Direct iaitu hernia yang dihidapi orang dewasa. Kebanyakan pesakit ialah lelaki berusia 40 hingga 60 tahun. Ada pesakit menghidap jenis inguinal hernia campuran direct dan indirect.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20140119/kn_02/Awas-hernia#ixzz31CaXZgjH
© Utusan Melayu (M) Bhd